Rinduku dahulu pada pungguk
Yang rindukan bulan pula
Yang indah semesta pada purnama
Cahayanya melitupi maya
Serta aku, yang merindu sendiri.
Bulan lebih layak memiliki rindu itu
Kerana hadirnya rindu itu tidak dicari
Tidak ditempah separuh mati.
Kini rinduku pada bebintang pula
Yang datang pergi, datang pergi
Tidak tentu rasa atau masa
Kerana bintang itu tentunya akan mati
Mengusir pergi zulumat yang dibisik
Dan aku rela melepaskan lalu.
Kini rinduku itu, aku sedar
Tentunya bukan milik aku
Kerana hadir dengan taqdir
Dan sapanya dengan ujian
Maka serahkan saja rindu itu kepada
Kasih yang pasti.
Kerana pada akhirnya juga
Tidur yang lama sudah menunggu mimpimu
Yang berakar saraf di bumi
Tempat lahir dan tempat kembali.
Pena sudah lama terhenti
Maka ikuti saja kisahnya
Hingga tamat cerita.
Labels: sajak
Kadangkala
Rasa semacam tidak larat
Rasa semacam tidak sanggup
Rasa semacam tidak mampu
Untuk berfikir
Berfikir lagi.
Untuk hadam
Hadam lagi.
Untuk pilih
Pilih lagi.
Kadangkala
Di luar sana terlalu sejuk beku
Untuk diredah semua
Terlalu jahil
Untuk diubah molek
Terlalu laju
Untuk ditempuh
Terlalu asing
Untuk didiami.
Tapi
Katil ini keras
Dan aku sudah tidak mampu
Untuk terbaring di sini
Menunggu gong yang datang
Menerkam dan mengejut
Dari lena yang terlampau lama.
Dan di saat rindu itu hadir
Di mana tangis itu sayu
Di mana hati itu remuk
Memikirkan rindu yang belum bertemu
Penat.
Hampir tidak mampu lelah sepertinya
Tetapi dirintih juga
Kerna rindu.
Ada bunga yang dititipkan kasih
Bagaikan peringatan yang tersendiri
Bahawa indah itu sebentar
Yang sakit itu sementara
Yang kekal tetap menanti
Tetap pasti.
Sudah termeterai dalam mimpi
Maka yang fana
Kerjakan saja
Sehingga penat
Penat lagi.
Labels: sajak