Sunday, March 25, 2007


Untuk mereka yang makan cili...

Aku masih belum sanggup
Untuk meluang sedikit lebih kurang masa untuk
MengingatiMu
Kerana pada firasat aku
Mati itu lama lagi
Aku belum kepingin gulai kari masakan ibu
Yang semestinya akan aku minta
Sebentar sebelum ajalku.
Jadi
Tolonglah faham, Tuhan
Jikalau bacaan ayatMu, aku hadkan pada Yaasin sahaja
(Bila aku santai pada Khamis malam Jumaat)
Ataupun bila solatku terlanggar hadlaju
Yang ditetapkan oleh RasulMu.
Itu zaman itu
Ini zaman ini
UmmatMu bukan semuanya di padang pasir kini.
Islam sudah bergerak maju.
Agama itu kan mudah?
Maka haruslah disesuaikan dengan waktu
Duniaku ini bergerak secular
Takkanlah mampu Islam mengejar sama?
Kapitalisma lebih menguntungkan
Hedonisma lebih memberangsangkan
Lebih memuaskan nafsuku
Yang makin lemau dikunyah umur.
Solat sunat itukan
Tidak buat pun tak apa?
Aku belum tua
Belum rasa mahu menyarungkan kain pelikat
Atau duduk lama-lama di surau.
Aku ingin masuk syurga, tapi
Bukankah cukup sekadar shahadah
Sebagai penyaksian bahawa aku ini
Seorang yang membawa Islam?
Asal cukup syarat
Aku puasa, solat, bersunat
Aku target untuk buat haji
(Selepas menonton di Chelsea)
Aku bayar lima ringgit itu yang perlu bila orang meminta
Cukup bukan, TuhanKu
Sebagai saham syurgaku
Di akhiratMu
Yang masih jauh lagi
(Bagiku)
?

Labels: ,

this has been a rant by Syazwina Saw at 6:49 pm

0 comments